Kitab Amar Ma’ruf Dan Nahi Mungkar
Ketahuilah, bahawasanya amar ma’ruf (menyuruh melakukan kebaikan) dan nahi mungkar (mencegah melakukan kejahatan) adalah puncak tertinggi dalam agama. Ia merupakan suatu soal yang amat penting sekali, yang kerananya Allah s.w.t. telah mengutuskan para Nabi sekalian. Andaikata tugas ini dilengahkan dan segala jentera amar ma’ruf dan nahi munkar itu dicuaikan, sama ada dalam ilmu pengetahuan mahupun amalan, tentulah kesesatan bermaharajalela dan kejahilan terus akan melanda setiap orang, dan ketika itu negara akan menjadi rosak binasa manakala rakyatnya menjadi kacau bilau.
Oleh kerana itu maka sewajarnya kita memohon pelindungan kepada Allah Ta’ala agar pekerjaan amar ma’ruf dan nahi mungkar ini tiada terlepas dari puncaknya, sama aada mengenai amalan maupun ilmunya, sehingga hakikat dan firasatnya tiada terhapus sama sekali, dan sehingga hati manusia tiada dipengaruhi oleh kekeliruan, sampai tertutup dari hati itu ingatan dan perhatiannya kepada Allah. Dangan jangan sampai manusia akan berwenang-wenang menurutkan kemahuan hawa nafsu dan syahwatnya laksana binatang. Ketika itu akan menjadi sukar sekali terdapat di atas muka bumi ini seorang Mu’min dalam antikata benar-benar beriman, yang tiada akan menghiraukan celaan orang dalam berpegang yang benar dan hak. Tiada perlindungan melainkan kepada Allah saja dan tiada pengharapan melainkan kepadaNya hanya.
Berikut akan dibentangkan tujuan-tujuan dari kitab ini, iaitu amar ma’ruf dan nahi mungkar serta kewajiban menyempurnakannya, keutamaannya dan kecelaan dalam melalaikannya.
Wajib menjalankan amar ma’ruf nahi mungkar
Tugas menjalankan amar ma’ruf dan nahi mungkar, iaitu menyuruh membuat kebaikan dan melarang dari membuat kejahatan menjadi wajib, ditilik dari beberapa ayat al-Quran al-Karim seperti berikut:
Allah berfirman:
“Wajiblah ada di antara kamu suatu tempat (golongan) yang menyeru (manusia) kepada melakukan kebaikan, menyuruh berbuat baik dan melarang berbuat yang jahat. Mereka itulah orang yang berjaya (bahagia).” (ali-Imran: 104)
Ayat yang tersebut di atas jelas sekali menunjukkan kewajiban hukum amar ma’ruf dan nahi munkar. Sebab perkataan waltakun yang bermaksud wajiblah ada merupakan suatu perintah, dan zahir sekali perintah itu menunjukkan kewajiban perkara yang disuruh. Kemudian dalam ayat itu diterangkan pula perkataan berjaya atau bahagia, yang mana pencapaian tingkat itu bergantung dengan melakukan perintah yang wajib tadi. Perhatikanlah firmanNya: Wa Ulaika Humul Muflihuun yang maksudnya: Mereka itulah orang yang berjaya (bahagia). Ternyata padanya bahwa tugas itu merupakan wajib fardhu Kifayah, bukannya fardhu ‘Ain, yang mana bila sesuatu ummat atau golongan menjalankan perintah atau tugas itu, maka gugurlah kefardhuannya ke atas seumum manusia yang lain.
Allah berfirman lagi:
“Dan orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan setengah mereka menjadi pemimpin kepada setengah yang lain; mereka menyuruh mengerjakan yang baik dan melarang dari mengerjakan yang jahat dan mereka mendirikan sembahyang.” (at-Taubah: 71)
Allah Subhanahu wa Ta’ala telah mensifatkan orang-orang yang beriman itu sebagai orang-orang yang menyuruh mengerjakan kebaikan, maka dengan itu sesiapa yang meninggalkan tugas menyuruh membuat yang baik itu terkeluarlah ia daripada golongan orang-orang yang disifatkan oelh Allah Ta’ala dalam ayat tersebut sebagai orang yang beriman:
Berfirman Allah lagi:
“Allah telah meletakkan laknatNya ke atas orang-orang kafir dari kaum Bani Israel atas lisan (lidah) Daud dan Isa bin Maryam. Yang demikian disebabkan mereka menderhaka dan sering melanggar batas. Mereka itu selalunya tiada larang melarang terhadap kejahatan yang mereka lakukan. Alangkah buruknya perilaku yang mereka lakukan itu.” (al-Maidah 78-79)
Ayat tersebut merupakan kemuncak ancaman dan kemurkaan dari Allah Ta’ala kerana yang menyebabkan mereka ditimpa laknat itu ialah kerana mereka meninggalkan nahi mungkar; iaitu mencegah orang dari melakukan kejahatan.
Berfirman Allah Ta’ala lagi:
“Kamu sekalian adalah sebaik-baik ummat yang dilahirkan untuk kepentingan manusia, kamu menyuruh berbuat kebaikan dan melarang berbuat kejahatan.” (ali-Imran : 110)
Ayat tersebut menunjukkan bahwa tugas amar ma’ruf dan nahi mungkar itu paling utama sekali kerana Allah telah memberi kepujian kepada orang yang menjalankan tugas ini, sebagai sebaik-baik ummat di atas muka bumi ini.
Berfirman Allah lagi:
“Dan setengah mereka melupakan apa yang diperingatkan kepada mereka, kami pun menyelamatan orang-orang yang melarang dari membuat kejahatan dan kami menyiksa orang yang menganiaya itu dengan siksaan yang mengerikan tersebab mereka itu berbuat kejahatan.” (al-A’raf: 165)
Ayat ini pula menerangkan, bahwa mereka itu mendapatkan keselamatan dikeranakan mereka mencegah dari melakukan kejahatan.
Berfirman Allah:
“Dan tolong-menolong kamu atas kebajikan dan taqwa dan janganlah kamu tolong-menolong atas dosa dan permusuhan.” (al-Maidah: 2)
Perintah ini adalah suatu kemestian dan maksud tolong-menolong itu ialah mengajak melakukannya dan mempermudahkan jalan kepada melakukan kebajikan serta menutup jalan-jalan yang boleh menyampaikannya kepada kejahatan, dan permusuhan sekadar kemampuan.
Allah berfirman lagi:
“Mengapa mereka tiada dilarang oleh ahli-ahli ilmu ketuhanan dan para pendita dari mengucapkan kata-kata dosa dan memakan makanan yang haram. Sungguh amat buruk segala apa yang mereka kerjakan.” (al-Maidah: 63)
Ayat tersebut menyatakan betapa berdosanya mereka disebabkan mereka telah mengaibkan perintah melarang membuat kejahatan.
Berfirman Allah:
“Mengapa tidak diperdapat dari angkatan (turunan) yang terdahulu dari kamu orang-orang yang mempunyai kelebihan, yang akan melarang manusia dari mengerjakan keburukan di muka bumi, kecuali sebahagian kecil saja di antara orang-orang yang telah Kami selamatkan.” (Hud: 116)
Ayat ini telah menerangkan kepada kita, bahwa Allah Ta’ala telah memusnahkan semua mereka, kecuali sebahagian kecil saja dari orang-orang yang telah mencegah melakukan keburukan itu.
Allah berfirman lagi:
“Wahai orang-orang yang beriman jadilah orang-orang yang kuat memegang keadilan menjadi saksi bagi Allah sekalipun ke atas diri kamu atau kedua ibu bapa dan kaum kerabat.” (an-Nisa’: 135)
Iaitu amar ma’ruf juga ditujukan kepada ibu bapa dan kaum kerabat.
Berfirman Allah lagi:
“Tiada mendatangkan kebaikan dalam banyaknya rapat-rapat rahasia mereka, melainkan yang mendatangkan kebaikan itu ialah bagi orang-orang yang menyuruh bersedekah, atau melakukan kebaikan, atau membuat perdamaian antara manusia. Barangsiapa yang mengerjakan itu kerana mengharapkan keredhaan Allah, akan Kami berikannya kepadanya pahala yang besar.” (an-Nisa’: 114)
Adapun khabar atau Hadis yang memberitakan tentang amar ma’ruf dan nahi munkar ialah apa yang diriwayatkan dari Abu Bakar as-Siddiq r.a. dari Rasulullah s.a.w. sabdanya:
“Tiada ada suatu kaum pun yang melakukan maksiat-maksiat, sedang dalam kalangan kaum itu ada orang yang mampu mencegah mereka dari perbuatannya itu tetapi ia tiada berbuat, tiadakah ia merasa bimbang bahwa Allah hampir-hampir akan menimpakan siksaNya atas mereka sekalian.”
Selain ini, ada banyak lagi Hadis-hadis lain yang diriwayatkan dalam perkara ini, sampai tiada terkira banyaknya.
Dalam dalil-dalil yang tersebut di atas, nyatalah bahwa tugas amar ma’ruf dan nahi mungkar itu menjadi seperkara yang wajib, dan kewajibannya pula tiada terluput sama sekali, selagi ada kemampuan untuk melaksanakannya, kecuali jika sudah ada orang lain yang memenuhi tugas itu.
Al-Imam al-Ghazali (meninggal 505H) dalam kitabnya Ihya ‘Ulum al-Din telah menyebut mengenai rukun-rukun perlaksanaan Hisbah.Hisbah bermaksud perlaksanaan al-Amr bi al-Ma’ruf (menyuruh kepada makruf) apabila ia nyata ditinggalkan,dan al-Nahy ‘An al-Munkar (pencegahan kemunkaran) apabila ia nyata dilakukan.Rukun ketiga yg disebut oleh al-Imam al-Ghazali ialah :“Hendaklah kemungkaran tersebut zahir (jelas) kepada ahli hisbah tanpa perlu melakukan intipan.Sesiapa yg menutup sesuatu kemaksiatan di dalam rumahnya, dan mengunci pintunya maka tidak harus untuk kita mengintipnya. Allah Ta’ala telah melarang hal ini. Kisah ‘Umar dan ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf mengenai perkara ini sangat masyhur. Kami telah menyebutnya dalam kitab Adab al-Suhbah (Adab-Adab Persahabatan).
Begitu juga apa yang diriwayatkan bahawa ‘Umar r. a. telah memanjat rumah seorang lelaki dan mendapatinya dalam keadaan yg tidak wajar.Lelaki tersebut telah membantah ‘Umar dan berkata :“Jika aku menderhakai Allah pada satu perkara,sesungguhnya engkau telah menderhakaiNya pada tiga perkara. ‘Umar bertanya : “Apa dia? ”.Dia berkata : Allah ta’ala telah berfirman (maksudnya :Jangan kamu mengintip mencari kesalahan orang lain). Sesungguhnya engkau telah melakukannya. Allah berfirman : (maksudnya : Masukilah rumah melalui pintu-pintunya).Sesungguhnya engkau telah memanjat dari bumbung. Allah berfirman :(maksudnya :janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yg bukan rumah kamu,sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya).Sesungguhnya engkau tidak memberi salam.Maka ‘Umar pun meninggalkannya…Maka ketahuilah bahawa sesiapa yg mengunci pintu rumahnya dan bersembunyi di sebalik dindingnya, maka tidak harus seseorang memasuki tanpa izin daripadanya hanya kerana ingin mengetahui perbuatan maksiat.Kecuali jika ia nyata sehingga diketahui oleh sesiapa yg berada di luar rumah tersebut .. ” (Al-Ghazali, Ihya ‘Ulum al-Din, 3/28, Beirut : Dar al-Khair 1990).
Demikianlah Artikel Apa Kata AL-IMAM AL-GHAZALI Tentang Mengintip Untuk Cegah Mungkar Semoga Bermanfaat Untuk Pembaca Semua.
Demikianlah Artikel Apa Kata AL-IMAM AL-GHAZALI Tentang Mengintip Untuk Cegah Mungkar Semoga Bermanfaat Untuk Pembaca Semua.
0 comments:
Posting Komentar